Isnin, 15 Mac 2010

Bolehkah aku tanggung kos hidup ini?

Beberapa hari lalu saya dan isteri ke sebuah pasar hyper di Kajang. Saya dan keluarga biasanya membeli barang keperluan dapur secara mingguan. Saya lebih suka ke pasar hyper kerana kebanyakkan barang boleh diperolehi di sana dengan harga yang berpatutan. Di samping itu kita boleh memilih barang dengan keadaan yang selesa di samping parkir kereta lebih mudah dan menyenangkan.Saya tidak suka membeli belah dalam keadaan kelam kabut dan suasana hiruk pikuk.

Namun tidak semua benda dapat diperolehi di pasar hyper dan itu saya akan dapatkan di pasar Kajang.Saya suka ke pasar Kajang kerana kepelbagaian barangan jualan. Kalau nak cari ulam dan sayur kampong di situlah tempatnya.Tak perlu ke pasar borong Serdang atau ke Chow Kit. Keadaan pasarnya bersih dan tidak becak macam kebanyakkan pasar lain.Sebulan sekali, semua peniaga akan menutup gerai bagi membolehkan pasar dibersihkan sepenuhnya.

Apa yang mengejutkan saya apabila ke pasar hyper tadi ialah ketika membayar. Saya rasa kali ini saya memilih barang yang biasa dan kuantiti yang sama. Saya tersentak kerana bilnya hampir RM450 iaitu naik hampir RM100. Saya berbisek dengan isteri saya “banyakkah barang yang kita beli?” “Benda biasa aje,dan ada yang tak dibeli pun” jawabnya. Wah ini sudah meningkat 30 peratus lantas fikiran ini melayang kepada memikirkan bagaimana agaknya mereka yang berpendapatan rendah hendak menghadapi keadaan ini?

Saya membelek kembali senarai barangan yang dibeli. Harga roti, susu,ikan,sayur,buah-buahan telah meningkat.Bahkan hampir semua barangan yang siap proses telah naik harganya. Saya bandingkan harga di pasar Kajang,pun begitu juga. Hampir kesemua ikan,udang,ketam telah naik 20 ke 30 peratus. Wah kalau terus-terusan begini, majoriti rakyat Malaysia akan ditimpa mala petaka. Terutamanya yang kerja makan gaji sama ada dengan kerajaan ataupun swasta. Pekerja kilang dan swasta sudah lama menderita dengan kadar upah yang tidak berubah. Sedangkan harga barangan,wow! Sudah melambung-lambung.Kalau anak seorang bolehlah.Tapi kalau anak ada 5,6 atau lebih di tambah pula sedang bersekolah,mampus dibuatnya.

Sambil memandu pulang saya berbisik kepada isteri saya, agaknya bila anak-anak kita berkeluarga nanti, berapa pula yang mereka mesti bayar untuk barangan yang sama?

Apa pula akan berlaku bila GST dilaksanakan oleh kerajaan?